Sedih betul apabila membaca kisah nenek lumpuh ini.
Berhari-hari dia berendam airmata apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Warga emas itu terlantar di hotel tersebut sejak empat hari lalu.
Menurut akhbar Harian Metro, dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.
Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.
Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.
Ketika ditemui, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.
Apa-apapun tahniahler kepada akhbar berkenaan kerana telah menyiarkan kisah yang cukup menginsafkan ini. Tak lupa kepada staff hotel yang sanggup menjaga ibu tua ini walaupun bukan dari agama dan keturunan yang sama.
Yang pasti, penulis tidak mahu cepat-cepat menghukum si anak kerana kita pun tidak tahu kenapa dia tiba-tiba menghilang…mungkin ada musibah yang menimpanya hingga dia tidak dapat kembali ke hotel dan mengambil kembali ibunya yang uzur itu.
Dalam erti kata lain, ada seribu kemungkinan dan persoalan yang belum terungkai dan terjawab.
Namun, penulis ingat mengingatkan pada diri sendiri dan anda semua, mengenai sebuah kisah yang cukup terkenal pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Disebabkan terlalu cintakan isteri, Wail Bin Khattab selalu mencaci ibunya, mempercayai segala yang dilaporkan isterinya berkaitan ibunya.
Waktu Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan sakit yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar keringat dingin membasahi seluruh badan. Mati tidak, sembuh pun tidak ada harapan.
Selama berpuluh hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka lebar tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, manakala kaki dan tangannya kaku.
Sahabat menunggu kematiannya, namun tidak tiba. Mereka berasa terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka bersilih ganti mengajarkan Wail mengucap kalimah syahadah, namun semuanya buntu.
Wail cuba sedaya upaya mengucap dua kalimah syahadah tetapi yang kedengaran daripada mulutnya hanya perkataan “oh, oh, oh, oh”. Keadaan semakin mengerikan.
Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad meminta ibu Wail dijemput menemui beliau. Nabi mahu mengetahui bagaimana keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.
Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencaci lantaran hasutan isterinya. Dia percaya dan mengikut apa saja yang dilaporkan isterinya tanpa usul periksa. Ini menyebabkan ibunya berasa sakit hati kepadanya.
Nabi Muhammad s.a.w memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya yang derhaka. Tetapi perempuan itu berkeras tidak mahu memenuhinya. Dia berkata, air matanya belum kering lantaran perbuatan Wail yang menyakitkan hatinya.
Melihat keadaan itu, nabi termenung seketika. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api. Wail akan dibakar hidup-hidup.
Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail akan derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti.
Mendengar kata-kata nabi itu, ibu Wail segera berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku telah ampuni dia. Kesalahannya aku telah maafkan.”
Menurut sahabat, sebaik saja Wail diampuni ibunya, wajahnya mula berubah. Akhirnya dia dapat mengucap syahadah dan menghembuskan nafas terakhir.
Akhir sekali, mungkin kita boleh renungkan ayat ini yang dipetik dari Surah Luqman (31:14)
Akhir sekali, mungkin kita boleh renungkan ayat ini yang dipetik dari Surah Luqman (31:14)
” Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
No comments :
Post a Comment
Pstttt.. Tekiu ya!