Wednesday, April 9, 2008

Tazkirah : Sunnatullah

Erm arinie nak share 1 perkataan baru yang aku blaja dari emel yang dikirim oleh opismate- sunnatullah...teruskan membaca ye, tak rugi taw! pehtu berilah pendapat sebab ni la 1st time dengar perkataan sunnatullah nie..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Sunnatullah atau dalam bahasa lain ialah kelaziman yang Allah berikan kepada sesuatu kejadian. Memanglah Allah menjadikan sunnatullah (kelaziman) seperti api itu akan memanas, biji benih disiram akan bercambah, bila rajin berusaha akan pandai dan sebagainya dan perlu sekali difahami bahawa semua kejadian ini berlaku adalah atas kehendak Allah. Namun kelaziman atau sunnatullah ini boleh berubah pada bila-bila masa di atas kehendakNya. Sebagai contohnya kalau makan makanan kotor dan basi akan menyebabkan Allah berikan sakit perut dan sebagainya tetapi mengapa ini tidak berlaku kepada orang gila yang mengutip makanan dari tong sampah?


Walau macam mana dahaga sekali pun kalau minum air satu liter sudah mencukupi namun mengapa orang minum arak hingga 4 atau 5 liter masih tidak mencukupi? Kalau mengikut sunah Allah atau kelaziman apabila sebahagian (separuh) dari otak manusia dibuang pasti mati tetapi kenapa dalam program “Ripley’s believe it or not” orang ini masih sihat dan kini telah mula memperbaiki pergerakannya?. Begitulah Allah melalui sifat rububiahNya boleh sahaja merubah kelaziman (sunah Allah) bila dikehendaki.Apabila kita melihat awan dah gelap pekat dengan diiringi angin sejuk, bolehlah kita mengatakan insya-Allah hari akan hujan. Ini adalah sunnatullah. Apabila kita melihat cuaca sangat panas untuk tempuh lebih 3 minggu, insya-Allah bolehlah kita katakan lepas ini pokok durian, rambutan dsbnya akan berbunga dan seterusnya berbuah. Apabila kita melihat satu pokok begitu subur dengan warna daunnya yang hijau berkilat, bolehlah kita katakan tuan pokok ini menjaga pokok ini dengan baik sekali dan rajin membajanya mungkin dengan baja air basuhan ikan. Apabila kita melihat batang pokok getah mula mengeluarkan getah melalui batangnya dan daun-daunnya mulai berwarna kuning, bolehlah kita mengatakan akar pokok getah ini kena serangan penyakit kulat. Begitulah antara pelbagai sunnatullah yang boleh dijadikan iktibar kepada semua manusia.

Selain dari pelbagai sunnatullah yang sudah sedia difahami manusia, sebenarnya masih banyak lagi sunnatullah yang elok sekali kita fikirkan dan senaraikan sebagai iktibar tentang kebesaran Allah mentadbir dunia ini. Berikut adalah antara sunnatullah yang ingin saya kongsikan dalam penulisan kali ini. Saya bersedia untuk menerima maklum balas semoga setiap sunnatullah ini lebih diperhalusi lagi semoga jelas kepada para pembaca atau dibaiki lagi.

1. Keluarga yang tidak boleh lari dari jerat kemiskinan untuk tempuh yang lama - Sunnatullahnya ialah mungkin ahli keluarga ini mempersia-siakan sembahyang. Nabi dalam satu hadisnya berkata lebih kurang maksudnya, “kalau solat itu engkau tidak dapat menjaganya (meninggalkan solat) maka engkau akan mensiasiakan kehidupanmu”. Kehidupan orang ini banyak tersia-sia iaitu susah memanjang kerana solat mereka tidak dijaga dengan baik. Apabila satu ketika dahulu saya diberi kesempatan bergaul dengan penduduk setinggan di satu kawasan di Johor Bahru untuk beberapa tahun, barulah saya faham bahawa orang Islam jenis ini sekadar Islam yang tak makan babi dan tidak pegang anjing. Yang lainnya hampir serupa dengan orang kafir.

Bila pergi memancing, golongan ini lebih suka memerhatikan saya solat di tepi pantai beralaskan pasir atau di atas bot dalam keadaan duduk. Saya mulai memahami mengapa kehidupan mereka ini mirip ayam yang kais pagi makan pagi. Selain dari mempersiakan solat, kemiskinan ini juga mungkin berpunca tabiaat suka berjudi dan berjumpa bomoh. Apabila saya mengikut nelayan ke laut menangkap ikan selama dua hari satu malam, kadang-kadang hasil yang diberikan Allah begitu lumayan sekali. Namun di laut mereka tidak sembahyang selain berjudi main terup. Bila dah hampir ke pantai, mereka mula bersembang untuk membeli judi empat nombor. Sedih sekali saya memerhatikan umat Islam dari jenis ini.

2. Pelajar yang banyak masalah dengan akademik mereka di universiti. Setelah diselidiki, punca pertama ialah mereka tidak menjaga solat. Kes ini lebih mirip seperti kes (1) di atas. Satu ketika seorang pelajar anak peneroka yang sudah kematian bapanya berjumpa saya kerana terpaksa menambah pengajian kerana menebus semula pelajaran yang gagal. Mata pelajaran yang diulang ini sudah nyaris gagal untuk kali kedua. Setelah diselidiki, rupanya pelajar ini paling banyak solat satu hari ialah 3 kali sahaja. Setelah beliau taubat dan menjaga solatnya, beliau kini telah selamat meninggalkan UTM dengan ijazahnya.

Punca kedua pula ialah suka berbomoh termasuk menggunakan air M****. Ada pelajar yang semua pensel, pen dan gula yang digunakan telah siap dijampi oleh bomoh semoga cepat pandai, namun hakikatnya ialah lagi berbomoh, lagi bermasalah akademik dan kehidupannya.
Punca ketiga ialah banyak mengumpat mengata mengeji pensyarah mereka. Penyakit ini banyak melanda pelajar wanita. Pantang ada pensyarah yang cacat pengajarannya, berjam-jam pelajar wanita ini bersembang mengata keburukan pensyarah ini. Mengata menceritakan keburukan orang adalah mengumpat dan ia adalah tergolong dalam satu dosa yang besar. Akibatnya bila peperiksaan, pelajar ini gagal bagi mata pelajaran yang diajar oleh pensyarah yang selalu diumpatnya tersebut.

Punca keempat ialah riak atau bermegah seperti bermegah dengan pencapaian sewaktu peperiksaan SPM lalu. Ada yang bermegah kerana diantara ramai sepupu yang mengambil SPM, hanya beliau sorang sahaja yang berjaya memasuki UTM.
Punca kelima pula ialah berpacaran sesama pelajar. Bila berpacaran tu mulalah naik motorsikal berdua, berpeluk di atas motor, bercium, tidur di hotel dan sebagainya. Ada antara pelajar wanita yang gayanya macam pelacur kerana saban malam hilang dan hanya pulang waktu pagi. Kadang-kadang tu tanpa segan silu menceritakan rupa bentuk air mani lelaki kepada rakan sebiliknya, masyaAllah. Namun pelajar ini kalau pelajar lain tamat pengajian 4 tahun, dia ini nyaris gagal selepas belajar 6 tahun.

Punca keenam pula ialah kegemaran menonton pornografi terutama sekali di kalangan pelajar lelaki.

3. Tayar motorsikal atau kereta pancit - Sunnatullahnya ialah tuan punya kenderaan ini berjalan di bumi Allah ini tidak betul menurut landasan Islam. Saya sendiri satu ketika dahulu sedang menaiki motorsikal pancit tayar depan. Motorsikal ini saya belikan untuk kerani besar saya bagi kegunaan beliau disamping memudahkan kerja saya. Setelah diselidiki, puncanya ialah setiap hari sabtu, kerani besar saya iaitu seorang gadis meminjamkan motor tersebut kepada seorang pekerja lelaki saya untuk kegunaan beliau keluar ke JB bersama seorang pekerja wanita ditempat kerja saya. Mereka mengakui menonton wayang, lepak di Pantai Lido sampai pukul dua pagi mengerjakan perkara-perkara maksiat. Jadi saya juga dipersalahkan Allah kerana tidak mendidik dan telah menyediakan prasarana untuk kerja maksiat dan sebagai balasannya tayar motorsikal tersebut pancit. Dalam lipatan sejarah kehidupan saya sendiri, sewaktu saya hidup dalam zaman jahiliah dahulu sewaktu muda, kerap juga tayar kereta dan motorsikal tu pancit.

4. Cek melambung dalam perniagaan - Saya pernah mempunyai sebuah kedai komputer dahulu. Alhamdulillah berbagai pengalaman diberikan Allah. Termasuk pancit tayar motorsikal seperti di atas. Rasalah memegang duit yang banyak. Berurusan dengan pembekal menggunakan cek. Kali pertama cek saya melambung adalah kerana cek dari seorang pembeli saya tiada duit (bounced) dan dengan itu cek yang saya berikan kepada pembekal tidak mempunyai duit yang mencukupi dan turut juga bounced. Setelah diselidiki rupanya seorang pekerja lelaki saya menjual cd lucah kepada pelanggan saya dan beliau pula kerap berzina, masyaallah. Kali kedua cek bounce adalah apabila seorang pekerja lelaki saya kerap membawa perempuan ke pejabat di tingkat atas kedai komputer saya selepas pukul 12.00 malam untuk berzina. Kali ketiga pula saya menghadapi cek melambung apabila seorang pekerja wanita berzina dengan seorang pekerja lelaki yang sudah beristeri. Saya pastinya dipersalahkan Allah kerana menyediakan satu sistem bekerja di mana pekerja lelaki bebas bergaul dengan pekerja wanita. Saya kini sudah melupuskan segala kepentingan dalam kedai komputer, hanya menumpukan kerja di UTM disamping berniaga dengan Allah mudah-mudah perniagaan ini tidak mendatangkan kerugian iaitu perniagaan mendakwah.

5. Enjin kereta terlampau panas dan atau radiator juga terlampau panas hingga kering airnya - Ini menunjukkan tuan punya kenderaan ini sedang tidak tentu arah menghadapi masalah yang sangat memanaskan hatinya. Pengalaman bersama beberapa hamba Allah yang sedang bermasalah rumit seperti ini boleh menjelaskan lagi. Antara sampelnya ialah seorang makcik yang kekeringan air dalam radiator keretanya di tepi jalan. Setelah diselidiki, anak lelakinya baru kena tendang dari satu IPTA, memalukan. Balik kampung pula tak tahu duduk rumah, asyik keluar malam pergi cyber cafe, membuang masa dan menghabiskan duit, siapa emak yang tidak marah.

6. Enjin kereta bermasalah sewaktu sedang berjalan - Lagi besar kerosakan enjin sehingga tow truck terpaksa dipanggil selalunya menggambarkan dosa besar tuan punya kenderaan ini. Kategori kerosakan paling besar selalunya menggambar tabiaat berzina tuan kenderaan ini. Kalau kecil sedikit mungkin pada tahap menghampiri zina. Pernah satu pemuda Cina yang kerap mengahadapi masalah dengan kenderaannya apabila saya menyoalnya, beliau mengakui banyak berzina. Seorang pekerja saya yang berzina di atas kedai saya juga mengalami rosak enjin sewaktu dalam perjalanan kerja sehingga perlu dibaiki keseluruhan keretanya. Orang Cina cukup meyakini kereta suey (sial) yang kerap mendatangkan masalah kepada tuan punyanya. Sebenarnya, bukan kereta yang suey, tetapi tuan punya yang banyak dosa.

7. Kena histeria atau kena tindih waktu tidur oleh jin – ada melakukan perkara syirik.

8. Kena perbuatan sihir - ada melakukan syirik seperti menyimpan tangkal. Allah sudah menyatakan dalam Al Quran bahawa syaitan tidak ada sebarang kekuasaan ke atas orang yang beriman. Jangan takut sihir kerana Allah sangat berkuasa. Melindungi manusia dari perbuatan sihir manusia bukan pekerjaan susah bagi Allah

9. Rumah yang didiami berhantu atau terdapat pelbagai benda dan kejadian pelik di dalamnya termasuk pelbagai bunyi yang tidak dapat difikirkan secara rasional – Menggunakan pendinding rumah dan atau menggunakan dan menyimpan pelbagai tangkal dan azimat atau ada perbuatan lain yang mensyirikkan Allah. Dalam satu kes yang berlaku di Masai JB, seorang hamba Allah membeli rumah baru. Sebagaimana kebiasaan, hamba Allah ini memanggil bomoh untuk memagar dan mendinding rumah baru ini. Sebelum di pagar dan didinding oleh bomoh, rumah ini tidak ada kejadian pelik tetapi selepas di pagar dan didinding, buaian bayi didalam rumahnya sering berpusing sendiri tanpa ada sesiapa yang memusingkannya.

10. Anak keguguran sewaktu mengandung – ada masalah besar yang dihadapi oleh isteri yang tidak dapat ditangani olehnya dan dalam keadaan tertentu ada hubungkait juga dengan perbuatan menyirikkan Allah.

11. Anak kematian atau cedera – Suami isteri ada bergaduh. Gaduh kecil anak cedera kecil, anak cedera besar, gaduh besar, gaduh paling besar, anak kematian seperti kemalangan dsbnya.

12. Anak bermasalah – suami atau isteri atau kedua-duanya bermasalah.

13. Anak lemah semangat dan mudah takut – anak ini dibiasakan dengan pelbagai tangkal dan azimat atau amalan khurafat lainnya.
Pernah satu ketika dahulu saya menyaksikan minyak petrol yang bocor sewaktu kereta baru rakan saya sedang dipandu. Kereta ini mati tengah jalan kerana kehabisan minyak. Mengenangkan beliau adalah rakan saya, satu ketika saya beranikan diri berjumpa dengannya dengan tujuan memberikan bantuan sekiranya ada sebarang masalah antara rakan saya dengan isterinya. Selepas sahaja saya menyuarakan hasrat saya tersebut, rakan saya ini tidak dapat menerima sikap busy body saya dan seterusnya menyatakan kepada saya bahawa keluarga beliau just fine dan tiada sebarang masalah. Saya berasa cukup malu di atas teguran balas rakan saya ini. Hendak dijadikan cerita, tidak lama selepas itu, rakan saya ini berjumpa saya untuk menceritakan masalah besar dalam keluarganya. Saya tidak dapat membantu masalah rakan saya kerana beliau berdegil dengan hajatnya dan sama sekali tidak menerima pandangan saya dan arwah guru saya. Kini hamba Allah ini telah bercerai dengan isterinya. Begitulah antara pelbagai sunnatullah yang boleh kita jadikan petunjuk dan iktibar.
Cukup sekadar ini dahulu dan insya-Allah akan ditambahkan dari semasa ke semasa. Saya adalah seorang hamba Allah yang lemah sekadar mencari ilmu yang mudah-mudahan diredhai Allah. Pandangan yang saya berikan adalah berdasarkan pengalaman dan didikan dari arwah guru dan sunnatullah Allah boleh sahaja berbeza dan berubah dan tidak semestinya sama sebagaimana yang saya jelaskan di atas dan semua ini adalah terpulang kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Sekian wassalam wallahualam.

No comments :

Post a Comment

Pstttt.. Tekiu ya!


















Tweet

Share




Sebarkan.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails